Perlu perelok ilmu dan adab kita - 17 Mac 2010
Saya lihat ada segolongan masyarakat kita yang belum lagi berusaha atau cuba memperbaiki diri mereka demi kebaikan mereka sendiri.
Saya ingin berkongsi beberapa pengamatan yang mungkin dianggap remeh namun sebenarnya sedikit sebanyak mencerminkan sikap dan amalan masyarakat kita.
Contoh, setelah adanya badan-badan agama Islam seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), masih ramai yang mudah dipengaruhi khabar yang belum tentu kesahihannya.
Lihat sahaja ancaman gempa bumi dan desas-desus tentang sijil halal Pastamania.
Ini hanya menunjukkan betapa kurang matangnya masyarakat kita. Yang menyebarkan khabar tanpa usul periksa dan yang menerimanya juga sama.
Bukankah Islam mengajar kita agar mencari kebenaran sesuatu berita yang tidak pasti sebelum membuat sebarang andaian?
Kemudian kita lihat tanggapan masyarakat kita tentang persidangan iklim yang diadakan di Copenhagen tahun lalu. Sedihnya ramai yang tidak ambil peduli.
Lihat sahaja majlis perkahwinan, para tetamu datang menjamu selera dan mengambil sebanyak mungkin makanan. Kemudian makanan itu tidak dapat dihabiskan, dibuang dan berlaku pembaziran.
Jelas kepentingan persidangan itu tidak langsung bererti di dalam masyarakat ini. Bukankah Islam itu mengajar agar jangan membazir? Adakah kita tidak berhati perut terhadap mereka yang kelaparan kerana ditimpa bencana alam dan kemiskinan?
Kemudian kita lihat perdebatan tentang Maulidur Rasul. Saya hairan melihat umat Islam bertengkar tentang perkara ini sehingga ada yang berani mengeluarkan fatwa dan hukum sendiri.
Singapura mengamalkan keharmonian kaum, bangsa dan agama. Namun di antara umat Islam sendiri pertelingkahan berlaku. Mengapa? Benar, kita mencari kebenaran tetapi cara berdakwah bukannya dengan memaksa.
Rasulullah saw mengajar kita mengongsi ilmu dengan akhlak dan hikmah. Siapakah kita untuk menentukan azab atau pahala yang diterima? Jika mahu diberi pesan dan nasihat, lakukan secara hikmah dan doa kepadanya agar dipelihara Allah swt.
Pokoknya, setiap perubahan harus bermula daripada setiap individu agar dapat menjadi contoh kepada keluarga dan teman-teman.
Jika kita tidak dapat mengubah diri sendiri, bagaimana kita dapat mengubah masyarakat kita?
Kini, pemerintah telah melakar pelbagai rancangan bagi pertumbuhan ekonomi kita bagi tahun ini dan beberapa tahun mendatang. Apakah kita akan tetap dibelenggu masalah sama dan terus terkebelakang?
Saya harap kita dapat sama-sama memikirkan dan mengambil peluang ini agar masyarakat kita dapat bangkit dan membuat anjakan minda serta memajukan diri.
Muhammad Fahmi Hussaini